feedburner
Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

feedburner count

BADAN PERHUBUNGAN UMNO PULAU PINANG MENGUCAPKAN SELAMAT MENYAMBUT AWAL TAHUN ISLAM 1429H



FIRMAN ALLAH :
"If ye help not (your leader), (it is no matter): for Allah did indeed help him, when the Unbelievers drove him out: he had no more than one companion; they two were in the cave, and he said to his companion, "Have no fear, for Allah is with us": then Allah sent down His peace upon him, and strengthened him with forces which ye saw not, and humbled to the depths the word of the Unbelievers. But the word of Allah is exalted to the heights: for Allah is Exalted in might, Wise" (Surah Al-Taubah: 40)

TAZKIRAH HIJRAH 1429H

Sejak bermulanya penghijrahan dari Mekah ke Madinah, Rasulullah s.a.w. memang sudah yakin bahawa Allah akan melindunginya. Namun, demikian Baginda tidak pernah berasa terkecuali daripada kewajipan berikhtiar merencanakan perancangan hijrah dengan sebaik-baiknya. Antara perencanaan penting yang telah diperlihatkan oleh Baginda dalam menjayakan rencana penghijrahan ini termasuklah:

Pertama, perancangan yang rapi dan teliti. Baginda tidak tidur di biliknya pada malam itu. Sebaliknya diperintahkan Ali Abi Talib mengambil tempatnya tidur di kamar Baginda untuk mengelirukan musuh yang menyangka Baginda masih berada di biliknya.
Begitu juga Baginda tidak terus berangkat ke Madinah yang berada di sebelah utara selepas keluar dari Mekah, tetapi sebaliknya Baginda menghala ke selatan dan berhenti di Gua Thur selama tiga hari. Selepas tempoh tersebut barulah Baginda meneruskan perjalanannya ke Madinah, iaitu ketika gerakan pihak Quraisy sudah mulai mengendur.
Kedua, sentiasa mendapatkan maklumat terkini berkenaan pergerakan pihak musuh menerusi Abdullah Abu Bakar yang telah ditugaskan untuk mengumpul maklumat di Mekah pada waktu siang dan pada malamnya melaporkan kepada Baginda di Gua Thur. Memang maklumat terkini adalah merupakan suatu yang amat bernilai sehingga kadang-kadang maklumat-maklumat penting sanggup dijual beli dengan harga yang sangat mahal. Hari ini kita dapat menyaksikan semakin canggihnya perancangan perisikan yang tujuannya tidak lain hanya untuk mendapatkan maklumat.
Ketiga, kerahsiaan adalah satu perancangan Baginda yang sangat berkesan. Lihat saja bagaimana tidak seorang pun yang tahu termasuk teman karibnya seperti Abu Bakar r.a. hinggalah ke saat perlaksanaannya. Menjaga kerahsiaan dalam hal-hal penting dan bahaya seperti itu memang merupakan suatu keperluan yang dirancang rapi. Kebocoran maklumat-maklumat penting hingga diketahui oleh pihak musuh akan mengakibatkan musnahnya seluruh perencanaan.
Keempat, menggunakan sepenuhnya kepakaran yang ada walau daripada orang kafir sekalipun. Dalam peristiwa hijrah, Baginda telah mendapatkan khidmat seorang pemandu bukan Islam untuk menunjukkan jalan sulit yang tidak diketahui oleh orang ramai untuk ke Madinah. Hal ini dilakukan oleh Baginda setelah berpuas hati bahawa pemandu bukan Islam itu tidak akan mengkhianatinya.
Daripada peristiwa-peristiwa yang telah berlaku nyatalah bahawa hijrah bukan hanya satu rentetan peristiwa tidak sengaja atau kebetulan yang terjadi dalam kehidupan Baginda Rasulullah s.a.w. Perjalanan hijrah dengan segala liku dan simpang-siurnya itu jelas mengandungi hikmah budaya kerja yang berencana. Sesuatu cita-cita tidak mungkin dapat dijayakan cuma dengan doa dan penyerahan semata-mata, tetapi harus dilaksanakan dengan perencanaan yang cukup rapi. Yang dimaksudkan dengan perencanaan ialah suatu aliran menentukan matlamat, menggariskan kaedah-kaedah dan tindakan-tindakan untuk mencapai matlamat tersebut. Sementara yang dimaksudkan dengan perancangan pula ialah penggabungan dan penyepaduan pelbagai sumber yang dimiliki untuk menghadapi persekitaran dengan sebaik-baiknya.
Perencanaan juga disebut sebagai jambatan antara masa kini dengan masa depan yang membawa erti persiapan masa kini untuk menghadapi apa yang akan terjadi di masa depan. Ketika Allah memerintahkan kita agar bersiap sepenuhnya untuk menghadapi musuh dengan segala rupa kekuatan seperti mana firman Allah dalam surah al-Anfal ayat ke-60. Ayat tersebut memerintahkan kita umat Islam membuat perancangan pertahanan jangka panjang dengan mengambil kira perubahan-perubahan dan kemajuan-kemajuan yang sedang berlaku dan akan berlaku dalam bidang ketenteraan dan juga teknologi persenjataan.
Lebih-lebih lagi di saat umat Islam menghadapi ancaman yang datangnya bukan sahaja dalam bidang ketenteraan, malah telah meningkat kepada ancaman-ancaman bentuk lain termasuk budaya, pendidikan dan ekonomi, maka perintah Tuhan, “…waa’iddu lahum…” (bersiaplah menghadapi mereka…) itu harus pula difahami dari sudut semangatnya dengan membuat perancangan yang bernas lagi rapi dalam bidang-bidang lain seperti ilmu, kebudayaan, pendidikan, ekonomi dan sebagainya.
Lebih jauh daripada itu al-Quran juga telah menampilkan peribadi Nabi Yusuf a.s. sebagai tokoh misali perancang ekonomi sebagaimana yang diterangkan kepada kita dalam surah Yusuf, ayat yang ke-47 hingga ke-49. Di mana dalam ayat tersebut, Nabi Yusuf a.s. telah menyarankan suatu perancangan ekonomi pertanian untuk jangka waktu empat belas tahun dengan membuat perimbangan di antara jumlah penghasilan, penggunaan, penyimpanan dan pelaburan semula. Dengan perencanaan bersifat melihat ke hadapan ini, krisis ekonomi yang dikhuatiri akan menimpa negara dapat dihindarkan.
Dalam zaman yang penuh persaingan seperti sekarang ini, kecemerlangan dan keunggulan hanya akan dapat dicapai dengan penyuburan budaya kerja berencana dan pemikiran bernas. Sehubungan dengan itu budaya ad hoc seharusnya dihindari kerana ia bukan budaya yang terpancar daripada ajaran Islam. Memang manusia hanya boleh merencana, tetapi Allah jua yang menentukan jaya atau tidaknya. Namun manusia tetap diwajibkan merencana dan melaksanakan rencananya dengan setepat-tepatnya. Rencana yang rapi tetapi tidak dilaksanakan sebagaimana semestinya akan berakhir dengan kegagalan. Demikianlah apa yang telah terjadi dalam Perang Uhud. Perancangannya sudah cukup rapi. Tetapi ada pasukan yang kurang berdisiplin lalu mengabaikan perlaksanaan yang telah direncanakan, maka akibatnya pasukan Islam mengalami pukulan teruk.
Mudah-mudahan apa yang telah diperlihatkan oleh Rasulullah s.a.w. menerusi peristiwa hijrah yang telah melakar sejarah yang cukup besar itu mampu untuk kita mengambil pengajaran daripadanya, dan berupaya menjadi umat yang peka dengan hikmah- hikmah yang terkandung di sebalik setiap peristiwa-peristiwa besar sebagai panduan kepada kita umat akhir zaman yang semakin terpinggir ini.
Sumber :Institut Kefahaman Islam Malaysia