feedburner
Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

feedburner count

MENGAPA MUHYIDDIN RISAU DENGAN KEMASUKAN EZAM?


KANGAR, 29 Mei (Bernama) — Permohonan bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohamad Ezam Mohd Noor untuk menyertai Umno perlu mendapat kelulusan Majlis Tertinggi parti itu kerana beliau “ada rekod”, kata Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin hari ini. Menurutnya MT perlu membuat pertimbangan itu kerana Mohamad Ezam pernah meninggalkan parti dan menyertai pembangkang dan kini memohon menyertai semula Umno.
“MT mempunyai kuasa untuk menerima atau menolak,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan taklimat mengenai tata etika Umno kepada pemimpin Umno Perlis di sini hari ini. Muhyiddin berkata Mohamad Ezam tidak boleh diterima sebagai anggota parti secara automatik kerana rekod politiknya.
“Kalau tak ada rekod tak apa. Ini (kes yang ada rekod) mesti dibawa ke MT,” katanya.
Semalam Mohamad Ezam yang menyertai PKR pada 1999 dan meninggalkan parti itu sejak April tahun lalu menyerahkan borang keanggotaan Umno kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku Presiden Umno. Penyerahan borang serta wang yuran keanggotaan seumur hidup berjumlah RM100 itu mendapat liputan meluas media massa termasuk stesen televisyen. Muhyiddin hairan mengapa permohonan Mohamad Ezam diberi liputan secara besar-besaran oleh media kerana menurutnya Umno adalah parti yang terbuka kepada semua orang Melayu dan Bumiputera untuk menyertainya. “Kita tak mahu sangka buruk (kepada Ezam). Terserah kepada beliau sendiri. Beliau pernah jadi ahli Umno (kemudian) keluar dan masuk parti lawan. Lepas tu masuk balik. Orang kurang jelas apa sebenarnya,” katanya.
Beliau berkata, sudah pasti Mohamad Ezam akan terbeban untuk membuktikan keikhlasannya menyertai Umno untuk membantu parti kerana keikhlasan itu terletak pada beliau sendiri.
Semalam Abdullah dilaporkan berkata Mohamad Ezam menyertai Umno secara ikhlas dan tanpa syarat serta tidak akan diberi layanan istimewa.