feedburner
Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

feedburner count

INTIPATI UCAPAN PAK LAH DLM PAU 2007






1.UMNO tidak sekadar berjaya menerajui pemerintahan negara selama lima puluh dua tahun, malah kepimpinan UMNO telah berjaya membangunkan bumi Malaysia menjadi antara negara termaju, mencatatkan selama tempoh lima puluh tahun lalu, kadar pertumbuhan purata ekonomi KDNK 6.3 peratus. Sewaktu mencapai kemerdekaan, negara kita adalah antara yang termiskin di dunia; kini negara kita adalah antara negara terulung di dunia dari segi indeks pembangunan insan. Pendapatan nominal mencecah paras per kapita 20,900 ringgit, meningkat 26 kali ganda sejak merdeka


2.Dasar Kerajaan yang menggalakkan pertumbuhan sektor swasta telah menghasilkan nilai perdagangan mencecah satu trilion ringgit pada awal tahun ini. Imbangan perdagangan negara telah mencatatkan kedudukan positif selama 109 bulan berturut-turut. Rizab asing negara terus meningkat mencapai tahap 98.2 bilion Dolar Amerika. Pasaran saham negara mencapai tahap bersejarah, dengan Indeks Komposit Kuala Lumpur mencecah paras 1413 mata, dengan perdagangan yang rancak lagi aktif. Malaysia kini diiktiraf oleh Forum Ekonomi Dunia sebagai negara kelima paling berdaya saing di Asia.


3. UMNO tetap komited dan sama sekali tidak apologetik terhadap usaha untuk memartabatkan Islam. Islam menganjurkan kesederhanaan. Dalam Perhimpunan Agung pada tahun 2004, saya telah menggariskan sepuluh prinsip Islam Hadhari. Manhaj atau pendekatan Islam Hadhari telah difahami dan menerima sokongan dari parti-parti komponen BARISAN NASIONAL. Ini menunjukkan bahawa pendekatan Islam yang dianjurkan oleh UMNO berwajah sederhana - bersifat adil.


4. Tuntutan untuk kembali kepada semangat yang terkandung dalam ‘Perlembagaan Persekutuan’ wajar dilihat secara positif, ditafsirkan secara bijak tanpa prejudis. Perlembagaan harus dilihat dan ditafsir secara menyeluruh, dan bukan secara terpisah atau terasing dengan menumpukan kepada beberapa fasal tertentu sahaja. Perlembagaan memperuntukkan bahawa Islam adalah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai, di mana-mana bahagian Persekutuan. Bersandarkan semangat Perlembagaan, warga Malaysia pelbagai agama hendaklah mengamalkan budaya yang saling menghormati antara satu sama lain. Islam menyeru supaya umatnya menghormati penganut-penganut agama lain selaras dengan ayat 108, surah Al-An’aam,‘ Dan janganlah kamu mencerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah kerana mereka kelak akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Perlu ditegaskan bahawa sesuatu tindakan ada tindak balasnya. Sikap tidak menghormati mahupun sikap ekstremisme di satu pihak akan mencetuskan tindak balas yang sama di pihak yang lain. Keganasan di satu pihak akan membenihkan keganasan di pihak lain. Oleh itu, jika kita mahu agama kita dihormati dan difahami, marilah kita di dalam UMNO memperlihatkan contoh teladan terbaik dengan mengamalkan sikap menghormati penganut dan keperluan agama-agama lain.


5.Untuk itu, Malaysia telah dan akan terus mengambil langkah ke arah menjadi antara pusat kewangan Islam utama dunia. Dari segi pasaran modal Islam, kejayaan Malaysia terserlah dengan penguasaan dua-pertiga daripada pasaran bon Islam atau sukuk dunia, bernilai 47 bilion dolar Amerika. Sejajar dengan inisiatif Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC), Kerajaan telah meliberalisasikan sektor kewangan Islam untuk menggalakkan penyertaan entiti asing dalam sektor perbankan, pasaran modal dan takaful Islam. Selain itu, Malaysia telah mempelopori penubuhan institusi-institusi seperti Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam (Islamic Financial Services Board - IFSB) dan Pusat Antarabangsa Pendidikan Kewangan Islam (INCEIF). IFSB, yang dianggotai 125 negara, berfungsi untuk menyelaraskan peraturan dan piawaian di peringkat antarabangsa manakala INCEIF merupakan pusat pendidikan bertaraf universiti yang berperanan membangunkan modal insan untuk keperluan sektor kewangan Islam.Seterusnya, Malaysia amat komited untuk menjadi sebuah hab halal dunia. Kerajaan aktif mempromosikan perkhidmatan dan produk Halal Malaysia, di samping terus memperkukuhkan piawaian dan pensijilan Halal. Komitmen serius kerajaan dibuktikan melalui penubuhan Perbadanan Pembangunan Industri Halal untuk merintis dan menyelaras pelbagai inisiatif. Warga Malaysia terutamanya umat Islam tidak harus terlepas mengambil peluang daripada industri halal yang menawarkan peluang niaga yang besar. Saiz pasaran halal di peringkat global bernilai dua trilion ringgit; dan umat Islam di seluruh dunia berjumlah 1.8 bilion orang. Umat Islam wajib melihat usaha mengangkat status dan penggunaan perkhidmatan dan produk halal sebagai memenuhi satu tuntutan fardu kifayah.


6. Demi memastikan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) memenuhi matlamat penubuhannya, Kerajaan telah memperkenalkan program transformasi GLC pada 14 Mei 2004. Kejayaan GLC selepas itu amatlah memberangsangkan. Nilai pasaran saham 20 GLC terkemuka telah meningkat 74 peratus, mencecah nilai 253 bilion ringgit, membawa impak ketara kepada prestasi Bursa Malaysia. Syarikat-syarikat berkaitan memperlihatkan kejayaan dari segi prestasi kewangan dan penyusunan semula operasi; malah ada yang berjaya memperkukuhkan kedudukan mereka melalui pemerolehan; ada yang berjaya memperluaskan operasi ke luar negara. Kejayaan yang diperlihatkan oleh GLC telah meningkatkan keyakinan pelabur di dalam dan di luar negara.



7.GLC bertambah kukuh hasil dari transformasi yang berjaya dilaksanakan. Amalan korporat yang lebih baik, bukan hanya memberi manfaat kepada GLC, malah para pemegang saham utama GLC, seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Lembaga Tabung Haji serta Permodalan Nasional Berhad. Secara tidak langsung, ianya memberikan limpahan kepada rakyat dalam bentuk dividen dan bonus. Sebagai contoh, semenjak usaha transformasi dilaksanakan, dividen Lembaga Tabung Haji meningkat daripada 4.3 peratus pada tahun 2004 kepada 4.75 peratus pada tahun lalu. Dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja meningkat dari 4.75 peratus pada tahun 2004 kepada 5.15 peratus pada tahun 2006.

8.Beberapa langkah penambahbaikan yang diperkenalkan telah pun menunjukkan hasil. Berikutan penubuhan skuad pemprosesan khas, 98 peratus dari kes urusan tanah tertunggak sejak tahun 2001 telah dapat diselesaikan. Kini, urusan cukai boleh dijalankan melalui internet dan pulangan kredit kepada pembayar cukai menerusi sistem ‘e-filing’ telah dapat dipendekkan tempohnya, daripada berbulan malah bertahun, ke 30 hari. Pasport dan kad pengenalan kini boleh disiapkan pada hari yang sama berbanding 2 minggu sebelum ini. Pelan bangunan kini dapat diluluskan dalam masa 142 hari, sijil ‘perakuan siap dan pematuhan’ (Certificate of completion and compliance – CCC) dikeluarkan dalam masa 134 hari, berbanding tempoh berbulan dan bertahun di masa dahulu

8.Usaha membangunkan koridor ekonomi ini juga membawa pendekatan baru dalam perancangan pembangunan yang melibatkan sektor swasta berperanan lebih aktif. Sebagai contoh, adalah dilaporkan bahawa 70 peratus dari kawasan industri di kawasan utara tidak digunakan kerana gagal menarik penyertaan swasta. Oleh yang demikian, kita telah memastikan penyertaan langsung sektor swasta di peringkat merangka serta di peringkat melaksana koridor ekonomi. Ini untuk memastikan bahawa pelaburan yang dibuat bersifat komersil dan mampu menjana pulangan yang setimpal, di samping membawa faedah pembangunan yang dijanjikan untuk rakyat.

9. Pelancaran Wilayah Pembangunan Iskandar pada 4 November 2006 telah membawa satu era baru dalam pembangunan negara. Pembangunan yang berkonsepkan hab sektor perkhidmatan - khususnya dalam industri-industri kreatif, pendidikan, kesihatan, kewangan, pelancongan dan logistik – dijangka akan melonjakkan wilayah Selatan Johor sebagai nadi pembangunan yang pesat, dinamik dan disegani di seluruh rantau Asia dan dunia keseluruhannya.

10. Wilayah Ekonomi Koridor Utara – yang meliputi negeri Perlis, Pulau Pinang, Kedah, dan utara Perak – merupakan rancangan yang akan menekankan pembangunan pelbagai sektor, bertujuan meningkatkan kualiti hidup rakyat di Wilayah tersebut dan membasmi kemiskinan. Begitu juga dengan Wilayah Ekonomi Pantai Timur, meliputi negeri Kelantan, Terengganu, Pahang, dan daerah Mersing di Johor. Kita juga akan memastikan bahawa nikmat pembangunan akan melimpah ke seluruh negara, termasuk bagi negeri-negeri di bahagian timur Malaysia. Untuk itu, koridor ekonomi di Sabah dan Sarawak akan turut dibangunkan dengan mengambil kira keperluan dan hasrat pembangunan di negeri-negeri tersebut. Kesemua rancangan pembangunan koridor ini bertujuan untuk mengubah nasib masyarakat di luar bandar supaya lebih sejahtera menikmati hasil kemakmuran.

11.Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara telah dilancarkan pada 27 Ogos lalu. Pelan tersebut menjadi asas kepada pembangunan pengajian tinggi negara sehingga tahun 2020. Pelan tersebut menyuntik pembaharuan kepada program pendidikan tinggi supaya dapat memperlengkapkan usaha pembangunan negara. Adalah menjadi hasrat Kerajaan untuk melihat institusi pengajian tinggi negara mewujudkan suasana pembelajaran yang kompetitif berlandaskan prestasi dan meritokrasi. Institusi Pengajian Tinggi (IPT) hendaklah berupaya mengeluarkan graduan berprestasi tinggi hingga menjadi rebutan majikan di pasaran kerja global. IPT negara juga harus berupaya menghasilkan penyelidikan berkualiti yang mempunyai nilai komersial yang tinggi.

12.Industri Kecil dan Sederhana atau IKS berperanan penting dalam menjana pertumbuhan ekonomi negara. IKS memerlukan modal insan terlatih yang memiliki kemahiran bersesuaian. Latihan teknikal dan vokasional akan terus dikemaskinikan supaya dapat memenuhi keperluan industri. Latihan teknikal dan vokasional akan dirangkaikan dengan keperluan industri dan diberi imej baru, agar mampu memberi keyakinan baru serta memenuhi aspirasi baru. Sekolah-sekolah agama rakyat juga diseru melakukan anjakan pendekatan, mempelbagaikan kandungan dan meluaskan disiplin ilmu. Pelajar-pelajar di sekolah agama rakyat akan dibekalkan dan diperlengkap dengan ilmu, pengetahuan, pengalaman dan kemahiran yang membolehkan mereka menghadapi keperluan modal insan dalam era globalisasi dan ekonomi berpaksikan pengetahuan.