UMNO :ASPIRASI NEGARA
Posted by
MUTIARA MELAYU PULAU PINANG
KUALA LUMPUR: Umno perlu melaksanakan konsep AN ataupun singkatan kepada Aspirasi Negara sebagai rujukan untuk negara menghadapi cabaran dan pembangunan 50 tahun akan datang.Timbalan Ketua Umno Bahagian Jerlun Datuk Othman Aziz berkata singkatan itu juga dirangka berdasarkan gabungan pucuk pimpinan parti antara Presiden Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalan Presiden Datuk Seri Najib Tun Razak."Akronim yang merujuk kepada A (Abdullah) - N (Najib) adalah satu bentuk gabungan kepimpinan yang mencipta kejayaan untuk mencapai aspirasi negara menjelang 2057," katanya ketika menyokong usul terima kasih ucapan dasar Presiden Umno yang dibentangkan oleh Ketua Penerangan Umno Terengganu Datuk Ahmad Shabery Cheek pada Perhimpunan Agung Umno di sini hari ini.Othman berkata konsep AN merupakan ungkapan yang dirujuk kepada ideaidea Abdullah yang juga Perdana Menteri yang bersifat universal serta memberi kebaikan kepada masyarakat, negara dan dunia.Beliau berkata idea tersebut amat berbeza dengan idea pemimpin terdahulu kerana ia bukan idea yang menjurus kepada sasaran yang bersifat terhad sebaliknya menyasarkan matlamat yang lebih besar dan luas."Idea seperti Islam Hadhari, pembangunan wilayah, pembangunan sektor ekonomi dan pertanian serta pencapaian Malaysia di peringkat antarabangsa adalah satu anjakan idea yang berbeza dengan idea yang diutarakan oleh pemimpin sebelum ini."Ia selaras dengan idea aspirasi bangsa yang diperluaskan kepada aspirasi negara dan dipersembahkan di persada dunia," katanya.Beliau berkata konsep AN juga merupakan satu bentuk gabungan usaha antara dua pemimpin utama yang sentiasa memastikan kejayaan masyarakat dan negara.Othman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri Kedah turut meminta Abdullah mempertimbangkan keputusannya melarang Menteri Kabinet memegang jawatan dalam persatuan sukan kerana ia dapat membantu menaikkan martabat sukan negara."Saya lihat penglibatan mereka ini bukan hanya kerana jawatan tetapi lebih kepada minat dan kesungguhan, kadang-kadang pemimpin persatuan sukan tidak mempunyai semangat jati diri maka mereka tidak menghiraukan apa yang berlaku," katanya. BERNAMA