feedburner
Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

feedburner count

KERIS MELAYU PELINDUNG SEMUA


MENJULANG KERIS MELAYU, BERERTI MENJULANG BANGSA DAN MENAUNGI RAKYAT DI MALAYSIA
Sumber : BH Online

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, semalam menjelaskan keris bukan saja menjadi lambang kedaulatan orang Melayu, malah menggambarkan simbol kuasa kerajaan yang diterajui Umno yang bertanggungjawab melindungi rakyat semua kaum. Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang bukan Melayu supaya tidak mencipta musuh semata-mata kerana semangat perkauman yang melulu dan takutkan bayang-bayang atau lambang kedaulatan serta pengorbanan Melayu itu. Sambil menegaskan beliau tidak mahu lagi melayan polemik berhubung tindakannya mengucup dan menghunus keris, Hishammuddin berkata, orang bukan Melayu tidak harus bimbang kerana Umno selama ini berjuang untuk mempertahankan kepentingan negara dan semua rakyat.

"Keris tidak dihunus tanpa bertempat. Keris dihunus dengan tekad untuk mempertahankan bangsa dan kepentingan negara, bukan hanya untuk orang Melayu tetapi juga untuk mempertahankan kaum lain yang bernaung di negara ini. "Keris Melayu menjadi pelindung kepada semua orang seperti juga kerajaan yang sentiasa melindungi rakyat pelbagai kaum yang bernaung di bawahnya. "Berteduhlah di bawah perlindungan keris Melayu yang berdaulat ini. Tiada siapa yang harus gementar atau gugup dengan lambang yang abadi itu. Oleh itu jangan dicipta musuh yang tiada dan jangan takut bayang-bayang. Janganlah dikhuatiri sebuah perlambangan. "Janganlah terbawa-bawa dengan semangat perkauman melulu sehingga hilang rasa hormat yang dibina sekian lama dengan pengorbanan orang Melayu. "Saya ingin menyatakan untuk kali terakhir bahawa Pemuda tidak akan melayan lagi polemik melulu ini," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada persidangan pergerakan itu. Mesej beliau dalam ucapan yang bertema 'Pemuda Perjuangan' itu ditujukan kepada pemimpin dan masyarakat bukan Melayu yang mendakwa tindakannya menghunus Keris Panca Warisan pada persidangan Pemuda Umno tahun lalu kononnya sebagai mencabar mereka. Terdahulu, Keris Panca Warisan diarak masuk dan Hishammuddin yang berada atas pentas utama bersama kepemimpinan Pemuda Umno, menghunus, mengucup dan menjulangnya sebagai tanda perjuangan pergerakan itu membela bangsa, agama dan negara.

Hishammuddin yang menjelaskan secara panjang lebar erti keris dari sudut adat dan budaya Melayu, berkata keris dikucup bukan sekadar menerima kuasa malah tanggungjawab yang datang bersamanya serta kesediaan menjunjung tinggi tugas yang diwarisi dengan penuh keinsafan dan kejujuran. "Keris dijulang bermakna menjulang kuasa, kedaulatan dan tanggungjawab yang diserahkan dengan ikrar untuk berlaku adil dan saksama menunaikan amanah yang diterima," katanya. Hishammuddin berkata, tekad yang dibawa melalui Keris Panca Warisan dan semangat panji Sang Saka Bangsa mencerminkan perjuangan Umno bagi mendukung cita-cita kebangsaan demi mengekalkan maruah dan martabat bangsa, agama dan negara. Katanya, walaupun Umno dituntut mempertahankan agama, bangsa dan kedaulatan negara, Perkara 3 Perlembagaan Umno sentiasa mengingatkan ahli parti supaya mewujudkan kerja sama antara kaum bagi melahirkan rakyat yang kuat dan bersatu. "Pemuda Umno sedar tidak mudah untuk mentadbir sebuah negara pelbagai kaum seperti Malaysia tetapi kita sudah mengamalkan konsep perkongsian kuasa secara berkesan. Kita juga sedar jalan ke arah mencapai kesempurnaan dalam soal hubungan kaum sememangnya penuh berliku. "Justeru, usahlah diungkit perkara yang sudah sama-sama dipersetujui di mana teras kekuatannya sudah lama teruji.
Orang Melayu tidak pernah mengungkit apa yang bukan hak mereka, sebaliknya memberikan ruang dan kesempatan kepada semua," katanya sambil menyampaikan serangkap pantun penuh bermakna yang disambut dengan laungan sokongan dan tepukan gemuruh perwakilan Pemuda Umno. Kita tunduk memberi hormat; Kita mengangguk mengiakan; Kita berkalis menolak sengketa; Diam jangan disangka tunduk; Mengalah jangan disangka lemah; Hishammuddin yang juga Menteri Pelajaran menegaskan agenda memperkasakan sekolah kebangsaan yang menjadi tunjang sistem pendidikan negara, turut menjadi keutamaan tanpa menyekat kewujudan sekolah aliran lain. Katanya, agenda memperkasa sekolah kebangsaan tidak wajar dilihat sebagai 'zero sum game' atau hanya satu pihak yang mendapat kemenangan mutlak kerana 80.5 peratus daripada sekolah di bawah kementerian adalah sekolah kebangsaan yang mendidik 83.8 peratus daripada pelajar di negara ini. "Atas sebab inilah, semua pihak mesti menerima hakikat bahawa sekolah kebangsaan perlu diperkasa tanpa sebarang syak wasangka lagi. Kita tidak melihat sekolah berlainan aliran ini termasuk sekolah agama sebagai saingan atau ancaman. Sebaliknya kita melihat kepelbagaian ini sebagai kekuatan yang dapat meningkatkan daya saing negara," katanya. Hishammuddin juga mengingatkan Pas supaya tidak mempertaruhkan masa depan Islam dan umatnya dengan mainan politik berkaitan pendaftaran Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan Sekolah Agama Negeri (SAN) sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) kerana dasar itu sudah memberi manfaat kepada ribuan pelajar Islam.