feedburner
Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

feedburner count

LAGI PAS MENGGADAIKAN MARUAH ISLAM


Sudah menjadi trend dalam masyarakat Melayu jika seseorang menyampaikan ceramah agama, politik, umum dan apa jua ceramah mestilah menyelitkan nas-nas daripada ayat al-Quran dan hadis. Penggunaan nas-nas agama itu pula tidak boleh satu dua, tetapi mestilah banyak tidak kira apa jua tajuk yang diperkatakan dalam ceramah.Jika ada mana-mana penceramah tidak berbuat demikian, dia akan dianggap bercakap menggunakan akal dan tidak menggunakan naqal (nas). Malah penceramah itu dianggap tidak mengetahui agama atau tidak Islamik. Trend semacam inilah yang menyebabkan ramai penceramah yang tidak pernah mendapat pendidikan agama secara formal pun berlagak macam ustaz dan ulama dalam menggunakan nas-nas al-Quran dan hadis.

Keghairahan ini dapat dilihat dengan jelas di kalangan para penceramah sekular dalam sebuah parti pembangkang agama di negara ini. Orang awam yang tidak begitu mendalami ajaran Islam sudah tentu akan menganggap para penceramah sekular parti pembangkang agama itu sangat hebat kerana mereka sentiasa menggunakan al-Quran dan hadis sebagai hujah dan dalil dalam ceramah. Malah ada pun orang awam yang keliru menganggap seorang dua daripada sekian ramai penceramah sekular parti pembangkang agama itu sebagai ustaz dan ulama. Padahal kebanyakan nas al-Quran dan hadis yang digunakan oleh mereka tidak tepat dan jauh melencong daripada maksud asal kedua-dua sumber agama itu.
Berdasarkan kepada penelitian penulis, mereka tidak dapat pun membezakan antara nas-nas agama yang khusus dan nas-nas agama yang umum. Malah mereka juga nampaknya tidak mengambil tahu tentang perbezaan antara hukum Allah yang terkandung dalam nas yang muktamad dengan hukum ijtihad yang dibuat oleh ulama berdasarkan kepada fahaman mereka terhadap nas yang tidak muktamad. Malangnya gejala ini tidak saja berlaku di kalangan para penceramah sekular parti pembangkang agama berkenaan, tetapi dilakukan juga oleh sesetengah ustaz dan ulama parti itu. Dengan itu tidak hairanlah jika ada ustaz dan ulama parti pembangkang agama itu menggunakan nas-nas agama yang tidak muktamad untuk menghukum ahli-ahli UMNO sebagai kafir, menghalalkan orang Islam memaki dan mencarut pada waktu-waktu yang sesuai, menyembunyikan sebahagian ayat al-Quran untuk menghukum tidak boleh bekerjasama dengan bukan Islam dan macam-macam lagi.
Penulis percaya tindakan para ustaz dan ulama parti pembangkang agama itu menggunakan nas al-Quran dan hadis secara tidak tepat kerana mereka bermain politik dan bukan sama sekali kerana mereka jahil dan tidak dapat membezakan antara nas yang muktamad dengan nas yang tidak muktamad. Sebenarnya terdapat garis panduan yang jelas dalam Islam berhubung penggunaan nas-nas al-Quran dan hadis. Garis panduan ini terkandung dalam beberapa nas al-Quran dan hadis. Sekadar menjadi contoh diturunkan di sini ayat 116 daripada surah an-Nahl: Dan janganlah kamu berdusta dengan sebab apa yang disifatkan oleh lidah kamu ``ini halal dan ini haram'' untuk mengada-adakan sesuatu yang dusta terhadap Allah; sesungguhnya orang-orang yang berdusta terhadap Allah tidak akan berjaya.
Dalam ayat ini sudah tentu terkandung peringatan yang jelas daripada Allah terhadap orang-orang yang terlalu ghairah dan tidak berhati-hati dalam bercakap mengenai agama terutama yang berkaitan dengan mengeluarkan hukum dan pandangan untuk menghukumkan orang lain contohnya PAS. Ia juga peringatan kepada orang yang mengeluarkan sesuatu perkara secara tidak tepat seperti menggunakan nas-nas yang umum dan tidak muktamad. Jika merujuk kepada hadis pula kita akan dapati bahawa Rasulullah pernah mengingatkan para sahabat termasuk Muqatil bin Hayyan supaya berhukum dengan hukumnya sendiri dan jangan hukum dengan hukum Allah kerana dikhuatiri mereka tersilap mengeluarkan hukum dan tidak tepat dengan apa yang dikehendaki Allah.
Mengenai perkara ini Rasulullah bersabda dalam sebuah riwayat yang dibawa oleh al-Bukhari: Jika kamu mengepung penduduk sebuah kota (dalam peperangan), maka mereka menghendaki kamu menghukumkan mereka dengan hukum Allah, janganlah kamu menghukum mereka dengan hukum Allah. Tetapi hukumlah mereka dengan hukum kamu sendiri. Kerana kamu tidak mengetahui apakah akan mengena hukum Allah ke atas mereka atau tidak? Jika para sahabat yang merupakan orang yang paling faham dengan ajaran Islam disuruh supaya tidak berhukum dengan Allah dalam kes-kes dan kemusykilan-kemusykilan tertentu kerana dikhuatiri tidak tepat dengan kehendak hukum Allah, apakah pula dengan para penceramah sekular pembangkang agama yang sangat ghairah menggunakan al-Quran dan hadis dalam ceramah mereka? Malah berdasarkan kepada hadis ini para ustaz dan ulama parti pembangkang agama yang faham ajaran Islam dengan baik pun perlu juga berhati-hati menggunakan ayat al-Quran dan hadis dalam ceramah. Ini kerana para sahabat yang lebih mengetahui agama itu diberi peringatan oleh Rasulullah; para ustaz dan ulama parti pembangkang itu sepatutnya lebih aula lagi berpegang dengan peringatan baginda itu.
Dalam sebuah hadis riwayat at-Tarmizi, Rasulullah pula bersabda: Jika kamu mengepung penduduk sesebuah kota dan mereka menghendaki kamu menjadikan mereka di bawah tanggungan (zimmah) Allah dan Nabi-Nya, maka janganlah kamu menjadikan mereka di bawah tanggungan Allah dan tidak juga tanggungan Nabi-Nya. Tetapi jadikanlah mereka di bawah tanggungan kamu dan rakan-rakan kamu kerana jika mereka mungkiri tanggungan kamu dan tanggungan rakan-rakan kamu ia lebih baik daripada mungkiri tanggungan Allah dan tanggungan Rasul-Nya.
Apa yang dapat difahamkan daripada hadis ini ialah para sahabat juga diperingatkan oleh Rasulullah supaya tidak mudah berkata perkara ini dan perkara itu daripada Allah dan Rasul-Nya kerana mungkin mereka akan melakukan kesilapan. Malah baginda minta para sahabat supaya berkata bahawa perkara-perkara tertentu yang mereka akan putuskan itu adalah daripada mereka sendiri. Dengan mengambil pendirian sebegitu rupa bukan saja menyebabkan nama Allah dan Rasul-Nya terlepas daripada tercemar dan ternoda oleh keputusan dan tindakan kita, tetapi juga menyebabkan orang-orang yang tidak mahu patuh kepada keputusan dan tindakan kita terlepas daripada dicap sebagai tidak patuh kepada Allah dan Rasul-Nya.
Amat banyak nas daripada al-Quran dan hadis menggariskan panduan seperti ini, tetapi memadai dengan nas-nas yang disebut itu dalam rencana yang ringkas ini. Inilah yang disebut oleh sesetengah ulama bahawa jangan kita berkata Islam berkata begitu, tetapi berkatalah pandangan atau pemikiran Islam berkata begitu. Oleh kerana jika kita berkata Islam berkata begitu bererti Allah yang berkata begitu. Kerana Islam itu adalah Allah dan bukan manusia. Menurut pandangan Islam, Allah saja yang boleh bercakap atas nama Islam, tetapi kita sebagai manusia yang menganut agama Islam dan dipanggil Muslim hanya boleh bercakap atas nama pandangan atau pemikiran Islam. Malah ini juga yang menyebabkan sesetengah cerdik pandai Islam menganggap bahawa tidak boleh kita menamakan pertubuhan, puak, kumpulan dan parti sebagai parti Islam bagi mengelak daripada mencemarkan nama Allah dan Islam.
Bukan main indahnya ajaran Islam yang tulen, tetapi malangnya ramai orang Islam tidak berpegang dan melaksanakan ajaran agama yang sangat murni ini. Sebagai hasil daripada kesedaran inilah menyebabkan penulis sentiasa berhati-hati menggunakan nas-nas ayat al-Quran dalam tulisan dan ceramah. Jika menggunakan nas al-Quran dan hadis pun biasanya penulis akan memberitahu tentang nas-nas yang dijadikan hujah dalam tulisan dan ceramah bahawa ia merupakan nas yang muktamad atau tidak. Ada kala penulis tidak menyebut kategori nas secara terang-terang bagi mengelak terlalu ilmiah yang mungkin membosankan sesetengah pembaca. Jika penulis tidak menyebut kategori nas, bererti nas itu muktamad. Sedangkan jika penulis menyebut pula bahawa ayat itu ditafsir dan dihuraikan begitu dan begini bererti ia tidak muktamad. Kerana tafsiran dan huraian merupakan apa yang kita faham daripada nas dan bukan nas itu sendiri yang menyebutnya secara muktamad.